Thursday 8 December 2011

Dua Dekad

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM



Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang memberi nikmat dan terus melimpahkan rahmatNya keatas sekalian manusia. Alhamdulillah, tepat pada tanggal ini, 5 Disember 2011, bermulalah alam baru didalam hidup ini. Dari alam belasan tahun kepada puluhan tahun. Sudah dua dekad usia ini yang telah diizinkan oleh Allah untuk terus bernafas di bumi Allah. 

Tanggungjawab semakin bertambah

Dengan bertambahnya umur, bermakna juga semakin bertambah tanggungjawab keatas diri sendiri. Semakin tua diri kita, norma dalam masyarakat menuntut insan supaya lebih bertanggungjawab keatas diri sendiri. Dua puluh tahun bermakna peralihan daripada hidup sebagai remaja belasan tahun kearah dewasa( in English it called young adult). Mungkin perubahan sikap, mentaliti serta pemikiran kebiasaannya akan berubah secara berperingkat-peringkat sejajar dengan perubahan umur. Itu adalah realiti kepada pembangunan manusia. Saya secara peribadi merasakan, apabila bertambah umur ini, tanggungjawab diri sendiri atau self-responsibility adalah amat diperlukan dan dituntut dalam jiwa manusia. Mungkin bagi sesetengah orang, dapat ditafsirkan dengan mencari punca rezeki sendiri tanpa bergantung kepada punca utama/ main source iaitu ibu bapa. Bagi sesetengah orang, ia dapat ditakrifkan dengan mula sedar/ self-awareness berkaitan diri sendiri, perhubungan dengan orang lain serta alam sekitar. Contohnya jika berbuat salah, minta maaf mungkin solusinya. Apabila umur bertambah, semua perkara-perkara ini dituntut untuk diselesaikan oleh diri kita sendiri. Begitu juga dengan tanggungjawab, kepada diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat.

Hakikat Kehidupan

Umur meningkat bermakna semakin mendekati ajal. Itu adalah hakikat yang hakiki. Cuma yang menjadi persoalan adalah bila masanya dan bagaimana hidup ini berakhir. Peningkatan umur juga dapat memberi peringatan kepada kita bahawasanya sudah lama kita bernafas di bumi Allah ini, dan bila-bila masa sahaja akan ditarik kembali segala nikmat ini. Jadi, dikala kita gembira akan bertambahnya umur ini, kita juga harus mengingati Allah akan nikmat yang telah diberikanNya dan hakikat kehidupan ini. Bukan hanya perlu menyambutnya dengan keterlaluan hingga lupa segala-galanya.

Cabaran

Bagi saya, peningkatan umur juga adalah bertambahnya cabaran dalam hidup ini. Menongkah arus dari remaja belasan tahun kepada puluhan sudah tentu cabaran hidup juga berbeza. Jika dahulunya kita sibuk/bimbang dengan pelajaran di sekolah, SPM dan seumpamanya, kini hidup di alam pengajian tinggi sudah tentu berbeza cabarannya dari alam sekolah menengah. Jika dahulu, kita tidak diserahkan apa-apa tanggungjawab untuk dipikul, kini tanggungjawab dan amanah telah diberikan. Mungkin tidak ramai yang tahu penat lelah menjadi seorang wakil pelajar. Kesibukan dengan pengajian perlu diurus seiring dengan kesibukan dalam mengatur gerak perjalanan urus tadbir sesebuah organisasi bukanlah satu perkara yang mudah. Itu yang saya akui. Setelah dua tahun berada dalam perwakilan pelajar, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan ini. Tapi, segala kepahitan yang dialami ditukar menjadi kemanisan apabila nilai-nilai positif diterapkan. Jika beberapa tahun dahulu, saya mungkin tidak mengetahui tentang beberapa perkara, kini saya belajar segala-galanya. Secara positifnya, ia membantu membina saya dalam masa dua tahun ini. Alhamdulillah, tiada yang berharga selain daripada pengalaman yang  banyak mengajar kita dalam hidup ini. 

Alhamdulillah, sudah ada diantara sahabat-sahabat saya sudahpun mendirikan rumahtangga. Keinginan untuk berbuat benda yang sama sudah tentu wujud, namun jantung hati tetap berkata," Masanya akan tiba. Bersabar." Mungkin belum bersedia lagi, dan juga beberapa faktor juga perlu diambil kira apabila berbicara soal perkahwinan ini. Ia melibatkan komitmen, tanggungjawab dan berbagai lagi faktor yang perlu diambil kira dalam perkahwinan. Orang kata biarlah berisi dahulu supaya kelak tidak kebuluran. Biarlah ilmu penuh didada dahulu supaya kelak segala konflik dapat diatasi secara hikmah.

Harapan

Menongkah alam 20-an dan tahun baru, berbagai harapan tersemat di dalam minda ini. Inshallah, jika diizinkan Tuhan, apa yang saya harapkan adalah supaya terus diberikan kekuatan untuk teruskan hidup sebagai seorang pelajar. Keseimbangan kekuatan rohani, jasmani dan spiritual serta kepelbagaian pemikiran dalam bidang yang saya pelajari adalah apa yang saya harapkan untuk saya tuntut sepanjang saya bergelar pelajar. Sudah tentu rasanya tidak sabar untuk menghabiskan alam pengajian, namun pada masa yang sama kata orang, jangan terlalu gopoh, ambil masa untuk menikmati sesuatu kerana bila ia sudah berlalu kamu akan merinduinya. Masih ada 3 tahun untuk ditempuh sebelum menggapai segulung ijazah dan menjadi seorang Guru yang bertauliah. Inshallah, moga Allah sampaikan jua saat itu dan memakbulkan niat ini. Yang paling penting, harapan saya yang utama adalah untuk melihat bagaimana Islam ini difahami oleh masyarakat dan diamalkan. Golongan remaja harus peka dan buka mata dalam beberapa isu melibatkan kepentingan umat islam dan kepentingan negara. Apa yang saya harapkan adalah satu generasi pemuda yang celik mindanya dan berlaku adil dengan kebenaran. Golongan remaja dan pemuda yang soleh serta celik ini adalah apa yang saya harapkan dalam masyarakat. Mungkin generasi saya, atau mungkin generasi selepas saya. Harapnya ketika itu berlaku, saya masih sempat menyaksikan dihadapan mata saya. Jadikan Islam cara hidup kita.
Harapan adalah inspirasi kita untuk mencapainya.



MOHD KHAIRUL IKHWAN BIN KAMARUDDIN/ KAMARUDDIN KAIRUU

 (5 DISEMBER 1991-    )


ehsan daripada Syuhada Shamsuddin.


3 comments:

  1. Semoga berjaya wahai sahabat....Perjalanan hidup ini tak pernah berhenti sehingga kita menemui al Khaliq.Ingat pesan tok Guru,jaga tingkah laku.Ko pemangkin Kuala Krai

    ReplyDelete
  2. Haha. Inshallah. sama2 kita doa. Hang pon dok sana byk2 la kutip ilmu, bila balik boleh berkongsi sama.:)

    ReplyDelete
  3. happy belated bufday sahabat..moga pnjang umur & sentiasa dirahmati Allah selalu :)

    ReplyDelete