Thursday, 1 December 2011

Kesilapan itu satu kebiasaan

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikumwarahmatullah wabarakatuh

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah azzawajall kerana dengan izinNya, kita masih lagi berupaya untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan di muka bumi ini. Hamdalillah, segala puji bagiNya dan selawat serta salam keatas junjungan besar Rasulullah S.A.W serta para sahabah ridhuanullahi ajmain.


Hati saya tergerak untuk menulis, walaupun ketika ini, diri ini masih dibuai-buai keindahan waktu percutian dikala semester pengajian sudahpun tamat. Inshallah, menunggu 1 bulan lagi untuk kembali ke alam pengajian bagi meneruskan semester baru. Pada beberapa hari lepas, saya ditunjukkan satu video yang dihantar oleh seorang sahabat, dan beliau meminta saya mengomentar video tersebut. Sebelum saya menulis komentar tersebut, izinkan saya menjelaskan beberapa perkara terlebih dahulu iaitu:

1)sesungguhnya komentar ini tidak dipengaruhi oleh mana-mana catatan daripada mana-mana pihak, dan ia adalah daripada hasil penelitian dan pemikiran saya semata-mata,

2)Saya merasakan saya ini bukanlah orang yang berhak mengomentar, namun anggaplah komentar saya ini satu catatan yang ikhlas dari sanubari seorang Muslim,
3)jika terdapat beberapa kesalahan dalam komentar saya, saya mohon ampun dan maaf. Sesungguhnya, saya juga tidak lari daripada kesilapan.



Ulama waris para nabi.

Cukup terkenal apabila disebutkan bait-bait perkataan ini, dikaitkan dengan satu hadith nabi yang berbunyi,"ulama warisatul anbiya'" yang bermaksud ulama waris para nabi. Sejak dari kewafatan nabi s.a.w dan kemudiannya perjuangan ini diteruskan oleh para sahabah, tabiin, tabi' tabiin dan generasi terkemudiannya, ramai ulama telah dilahirkan. Ada yang berjasa besar dalam ummah ini, tidak kurang juga ada yang sedikit kurang disenangi kerana beberapa perkara. Kata muhaddithin( jika tidak salah saya digelar juga ahli hadith/ulama hadith), frasa diatas bermaksud jika ulama tersebut mengikut apa yang diperjuangkan nabi s.a.w dan meninggalkan larangannya, maka dia tergolong dalam golongan seperti frasa diatas. Adapun jika ulama itu, walaupun dengan jawatan/panggilan sebagai ulama, namun jika dia tidak menegakkan apa yang haq(betul) dan memperbetulkan apa yang batil(salah),maka dia tidak tergolong dalam golongan diatas. Bahkan nabi s.a.w mencerca golongan tersebut. Masih saya teringat satu frasa, "inilah golongan ulama yang menjaga jubah dari kotoran darah." Namun, tidak saya pasti ia dikutip daripada hadith ataupun sekadar satu rangkap daripada ulama. Para ulama tidak dapat kita nafikan sangat berperanan dalam ummah ini. Sebab itu ulama perlu dalam sesebuah organisasi masyarakat islam bagi membimbing ummah ke jalan yang diredhai Allah azzawajall.


Khilaf Antara Ulama


Topik ini seringkali dibincangkan dan seringkali apabila dibincangkan, ada golongan yang apabila berhujah dengan emosi tidak dapat mengawal emosi dan tidak mustahil membawa pertelingkahan. Khilaf/Perbezaan pendapat diantara ulama ini adalah satu perkara yang biasa. Ini kerana cara fahaman sesuatu senario itu berbeza dalam kalangan ulama. Adapun kebiasaannya yang menjadi khilaf ini adalah bab-bab yang apabila tiada dalil/nas yang kukuh daripada Al-Quran mahupun hadith Nabi S.A.W. Adapun jika dalil itu kukuh, ada beberapa bab yang memerlukan pemahaman yang lebih lanjut daripada ulama. Saya merasakan adalah lebih baik jika orang yang lebih a'lim dalam bidang ini memberikan penjelasan yang lanjut. Kerana ditakuti jika terdapat kesalahan dalam penjelasan ini. Tetapi apa yang ingin saya sampaikan adalah khilaf/perbezaan pendapat antara ulama itu adalah biasa, kerana cara faham hadith dan quran itu berbeza-beza bagi ulama-ulama. 

Ulama/Imam-imam Mujtahid

Generasi selepas tabi' tabiin banyak melahirkan imam-imam yang hebat, dan banyak mengeluarkan ijtihad(pandangan) dalam beberapa bab yang melibatkan kemaslahatan dalam kehidupan seharian umat islam. Nama-nama seperti Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam As-Shafie, Imam Ahmad bin Hanbal adalah generasi yang banyak berijtihad dalam beberapa perkara. Ini pula disusuli dengan generasi terkemudiannya seperti Ibn Taimiyah, Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Imam Bukhari, Imam Muslim dan seterusnya. Ulama-ulama ini banyak menyumbang dalam bidang masing-masing. Tentunya kita masih ingat Imam Malik dengan kitabnya yang tersohor iaitu kitab Muwatta' dan Imam Malik rahimahullah adalah guru kepada Imam As-Shafie. Imam Bukhari terkenal dengan kitab Sahih Bukhari, begitu juga dengan Imam Muslim yang banyak menyumbang dalam mengumpulkan periwayatan-periwayatan hadith Nabi S.A.W. Imam-imam ini berijtihad dengan kadar ilmu yang mereka ada, dan perlu diakui bahawasanya ilmu mereka cukup luas dan kita seharusnya menghormati setiap kesarjanaan yang ada pada para imam, namun janganlah ia sampai melangkaui taraf kemaksuman seperti Nabi S.A.W. Para imam tidak maksum, justeru mereka juga adakalanya melakukan kesilapan dalam mengeluarkan ijtihad. Kesilapan-kesilapan ini barangkali mungkin disebabkan ada beberapa hadith yang tidak sampai kepada imam-imam ini. Bukanlah kesilapan yang sengaja dilakukan oleh imam ini, namun mereka ketika itu berijtihad atas kapasiti ilmu mereka ketika itu. Maka tiada mustahil bagi mereka untuk melakukan kesilapan. Begitu juga dengan kita. 

Isu Yang Timbul

Kadangkala isu khilaf antara ulama ini dijadikan bahan bagi menghentam seseorang ulama dalam kalangan beberapa orang yang digelar agamawan. Saya menonton satu video yang isi kandungannya adalah:


1)seorang penceramah yang popular kini diminta diberikan ulasan tentang sheikh albani
2)video itu diselangseli dengan jawapan balas oleh pembuat video.


Disini ingin saya utarakan beberapa pandangan. Sheikh Albani (Muhammad Nasiruddin al-Albani)(meninggal pada 1999) digelar ulama hadith mutaakhir ini. Beliau dikatakan seorang pakar dalam bidang hadith. Namun, beberapa komentar terhadap beliau dengan mengatakan beliau pernah mempertikaikan sahih bukhari. Saya pernah mendengar Sheikh Dr Tahir-ul-Qadri dalam satu konvensyen mempertikaikan Sheikh Albani kerana mempertikaikan BEBERAPA kesahihan hadith dalam kitab Sahih Bukhari. Tidaklah ingin saya bawakan apakah hujjah-hujjah nya, namun seperti yang saya nyatakan diatas, mereka-mereka ini juga tidak lari daripada membuat kesilapan. Adapun saya tidak mempertikaikan pertikaian antara Ulama kerana sesetengah daripada ulama, mereka hanya 'bertikam lidah' dalam bidang ilmu sahaja dan tidak lari dari ruang lingkup hujjah ilmu. Saya mempertikaikan orang yang diluar pertikaian itu, yang mengomentar secara negatif berlebih-lebihan kadangkala sehingga sesat-menyesatkan. Masih saya teringat kata-kata Ustaz Fathul Bari, jangan dicerca ulama-ulama ini lebih-lebih lagi apabila mereka sudah meninggal dunia, kerana kita tidak tahu kesudahan kita, janganlah pula di akhirat nanti cercaan kita itu menyebabkan kita 'berhutang' dengan ulama tersebut di hadapan Allah azzawajall. Adapun jika kita mengerti bahawasanya ulama itu juga manusia, kadangkala juga melakukan kesilapan, maka biarlah kita sebagai umat islam mendoakan Allah mengampunkan dosa-dosa kesilapan tersebut, jika terbukti mereka tersilap. Kita ambillah pendekatan yang sederhana, dengan kita menghormati kesarjanaan yang ada pada para ulama/imam dan janganlah kita bersikap ekstremis terhadap mereka, kerana belum tentu kedudukan kita lebih tinggi daripada mereka di akhirat kelak. 


Yang baik datang dari Allah, yang kurang itu kelemahan diri ini sendiri. Jika ada salah terkomentar, harap maaf kerana terhadnya ilmu yang dimiliki dan kurangnya ilmu tersebut. Adapun ini hanya satu pandangan daripada orang biasa. Tidaklah pula satu hujjah kerana saya bukan ahli dalam bidang ini.
Allahuataala a'lam.


Kamaruddin Kairuu
1 Disember 2011
1.46 am

1 comment: