Sunday, 15 August 2010

Manusia Perlu Kepada Agama

http://www.islam101.com/art/bismillatina.gif

Agama adalah sebahagian daripada kehidupan manusia. Sejak manusia pertama dijadikan Allah Azawajalla iaitu Nabi Adam A.S. sehinggalah kepada manusia yang ada pada hari ini, kehidupan manusia dan agama seakan-akan tidak dapat dipisahkan. Agama membentuk manusia ke arah manusia yg sempurna.

Dalam konteks islam, agama atau ad-din dalam bahasa Arab, bertujuan untuk membentuk keperibadian manusia ke arah manusia yg sempurna dari segenap segi. Islam itu sendiri disebut-sebut sebagai ad-din nu nasihat yang bermaksud agama itu adalah nasihat. Nasihat dalam membentuk manusia ke arah kesempurnaan hidup.

Persoalannya, mengapakah manusia memerlukan agama dalam kehidupan mereka? Inilah persoalan yang cuba dibangkitkan. Dengan itu, marilah kita selidiki persoalan ini dengan berdalilkan Al-Quran dan Sunnah. Allah S.W.T telah menciptakan manusia sebagai hamba-Nya. Dan manusia itu sendiri disebut-sebut di dalam Al-Quran sebagai sebaik-baik kejadian. Ini dapat dilihat di dalam surah at-Tiin ayat 4 yang bermaksud :

SESUNGGUHNYA KAMI MENJADIKAN MANUSIA SEBAIK-BAIK KEJADIAN. (at-Tiin, ayat 4)

Jika kita meneliti kandungan al-Quran, Allah Azawajalla terlebih dahulu menciptakan malaikat, iblis dan jin sebelum menciptakan manusia. Hatta, mereka yakni Iblis dan malaikat adalah hamba yang taat kepada Allah. Iblis iaitu sesetengah riwayat menamakannya sebagai Azazil adalah imam kepada para malaikat. Tetapi, mengapa Allah menciptakan manusia? Persoalan ini juga pernah timbul dalam kalangan malaikat ketika Allah ingin menjadikan Nabi Adam. Ini kerana manusia adalah sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Disebabkan itulah, manusia itu perlu kepada agama kerana baik agamanya maka sejahteralah muka bumi ini. Sedangkan Iblis sendiri tidak mahu tunduk kepada suruhan Allah supaya sujud kepada Nabi Adam.

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah[36] kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.”( al-Baqarah, ayat 34)

Bayangkan jika manusia tanpa agama, maka akan berlakulah segala kerosakan di dunia ini.

Manusia ini secara semula jadi memerlukan petunjuk dalam melakukan sesuatu hal. Islam yang telah disyariatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. untuk membentuk keperibadian manusia dari segenap segi,dari perkara kecil sehinggalah kepada pemerintahan. Sudah menjadi fitrah manusia untuk mencari kebenaran dan petunjuk serta bimbingan. Disebabkan itulah diturunkan rasul-rasul untuk menyebarkan agama Allah supaya manusia berada di landasan yang benar. Rasul disebut sebagai mursalin ditugaskan oleh Allah supaya membimbing manusia ke jalan yang diredhai-Nya. Islam itu juga membawa rahmat kepada manusia.

“Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.”(Surah Saba’,ayat 34)

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. “(al-Anbiya’,ayat 107)

Manusia memerlukan agama dalam mengEsakan tuhan yang satu. Di dalam surah al-Fatihah, ayat pertama yang dibaca selepas kita membaca Bismillahirrahmanirrahim ialah Alhamdulillah hi robbil a’lamin yang bermaksud :

“Segala puji bagi Allah,tuhan semesta alam.”(Al-Fatihah,ayat 2)

Allah sebagai robbil a’lamin adalah tuhan bagi segala makhluk yang ada di muka bumi ini. Melalui islamlah, kita mengenal siapa pencipta kita. Disebabkan itu, manusia perlu kepada agama.

Selain itu, di dalam al-Fatihah ayat 4 yang bermaksud :

“Yang menguasai di Hari Pembalasan.”(al-Fatihah,ayat 4)

Di dalam surah ini, hari pembalasan ini diberi nama Yaumiddin,sedangkan di dalam bahasa arab,antara nama yang menggambarkan hari pembalasan adalah Yaumul jazak. Kenapa Allah menggunakan perkataan ad-din berbanding dengan al- jazak sedangkan yaumul jazak lebih sesuai digunakan. Ulama’-ulama’ tafsir mentakrifkan yaumiddin sebagai yaum ad-din iaitu hari agama. Ini bermaksud pada hari perhitungan ataupun yaumul hisab, manusia dihitung berdasarkan agama(ad-din). Segala yang dilakukan manusia semasa hayat mereka di dunia yang menepati suruhan Allah akan menerima ganjaran yang setimpal, begitu juga dengan setiap kemaksiatan akan dibalas dengan setimpal oleh Allah. Sebagai contoh, jika kita menuntut ilmu kerana Allah dan bukan kerana sebab lain,maka kebaikan menanti kita.

Manusia perlu kepada agama kerana agama memartabatkan dan menjadikan manusia itu sempurna dalam kehidupannya. Jika kita melihat kepada sejarah pada zaman Jahiliah, kedudukan kaum Arab begitu hina kerana mengamalkan beberapa dasar yang zalim dan tidak dapat diterima akal fikiran manusia. Tambahan pula, kedudukan tanah Arab ketika itu adalah diantara dua kuasa besar iaitu Kerajaan Rom dan Kerajaan Parsi. Kaum Arab dilihat sebagai kaum yang kucar-kacir kerana hidup berpuak-puak,sering berperang dan sebagainya. Ketika itu, majoriti kaum Arab menyembah berhala, amalan yang telah wujud berkurun lamanya.

“dan Manah yang ketiga, yang paling terkemudian (sebagai anak perempuan Allah)” (al-Najm,ayat 20)

Ayat di atas menerangkan tentang al Lata,al Uzza dan Manah iaitu nama patung-patung yang disembah kaum Arab jahilliah dan dianggapnya anak perempuan tuhan. Jika difikirkan, mengapa perlu manusia menyembah patung yang diciptakan tangan mereka sendiri. Apabila munculnya Islam, amalan ini dihapuskan kerana manusia dapat berfikir dengan logik bersandarkan nas-nas yang kukuh daripada al-Quran dan Sunnah.

“Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan.”(al-Ikhlas,ayat 3)

Pada zaman Jahiliah juga,masyarakat ketika itu mengamalkan budaya membunuh kanak-kanak perempuan kerana dianggap membawa bala dan wanita dianggap hanyalah sebagai pemuas nafsu semata-mata,kedudukan yang paling menghinakan.

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu karena takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar. “(al-Israa’,ayat 31)

Akan tetapi, selepas munculnya Islam, martabat wanita di angkat dan wanita bukan lagi seperti yang diamalkan pada zaman Jahiliah. Sebab itu perlunya manusia kepada agama kerana agama memartabatkan manusia dan melengkapkan kesempurnaan hidup sebagai seorang manusia.

Selain itu, manusia perlu kepada agama(islam) supaya kehidupan mereka di dunia dan di akhirat selamat. Allah Azawajalla telah menjanjikan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat kepada sesiapa yang beriman kepada-Nya. Ini dapat dijelaskan dengan ayat berikut:

“Dan dikatakan kepada orang-orang yang bertakwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?" Mereka menjawab: "(Allah telah menurunkan) kebaikan." Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertakwa.” (an-Nahl,ayat 30)

Manusia yang mengikuti segala perintah dan larangan Allah dan mengikut jalan yang lurus(ihdinassirathal mustakim) akan selamat kehidupannya di dunia dan akhirat. Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi dan diulas di dalam oleh Imam Malik dalam kitabnya, al-muwatta’,hadis ini menjelaskan tentang golongan yang tidak dapat minum di telaga kauthar. Golongan-golongan ini semuanya tidak meninggalkan solat,kerana hanya umat Muhammad sahaja yang mampu menghampiri telaga kauthar ini dan satu cahaya akan memancar di anggota badan wudhu’ menandakan golongan ini tidak meninggalkan solat.Akan tetapi di separuh perjalanan mereka menuju ke kolam kauthar,golongan ini disekat oleh malaikat. Lalu Rasulullah bertanya mengapa menyekat umatnya dari meminum air di telaga ini. Maka jawab malaikat,golongan ini walaupun tidak meninggalkan solat,namun selepas ketiadaanmu,mereka tidak menegakkan apa yang hak dan mempertahankan apa yang batil. Dalam erti kata yang lain,manusia yang bersolat pun belum tentu selamat di akhirat apatah lagi mereka yang tidak beragama atau memilih agama selain daripada islam.

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat.”(al-Maa’uun,ayat 4)

Disebabkan itu perlunya manusia kepada agama(islam) kerana dengan mengikuti agama manusia itu dapat selamat di dunia dan akhirat.

Agama juga menjadi pembimbing kepada manusia. Islam agama yang membimbing umatnya supaya menghindari dosa dan banyakkan kebajikan. Islam juga membentuk disiplin umat manusia. Contohnya dapat kita lihat pada musim haji setiap tahun. Mengerjakan ibadah haji bukanlah sesuatu yang mudah. Niat mestilah kerana Allah dan mematuhi setiap rukun menjadikan umatnya berdisiplin dalam kehidupan. Contoh yang lain dapat kita lihat adalah menerusi jadual pergerakan kehidupan kita. Kita bangun dari awal pagi untuk menyembah Allah, kemudian memulakan pekerjaan harian dan bersolat pada waktu zohor,asar,maghrib dan isya’. Kehidupan manusia lebih terurus dan menjadikan manusia ini berdisiplin sekaligus mengenal apa itu halal dan haram. Dalam erti kata lain, tidak akan ada isu rasuah,riba,zina dan seumpama maksiat jika manusia mengikuti segala arahan Allah.Di sebabkan itu,perlunya islam di dalam kehidupan manusia.

Antara sifat mazmumah atau keji di dalam diri manusia adalah riak dan angkuh. Di dalam al-Quran,di ceritakan bagaimana keangkuhan manusia melampaui segalanya. Kisah kehebatan firaun, yang diceritakan gagah perkasa dan tidak pernah jatuh sakit. Disebabkan itulah firaun dengan angkuhnya berkata, ana robbukumul a’la(aku adalah tuhan bagi kamu semua). Keangkuhan firaun laknatullah menyebabkan dia mengangkat dirinya sebagai tuhan tetapi Allah itu Al-Mutakabbir(Maha Takbur),Al-Aziz(Maha Berkuasa) menenggelamkan firaun laknatullah di Laut Mati semasa dia mengejar Nabi Musa A.S. dan pengikutnya. Apabila manusia tiada agama,inilah natijahnya. Sebab itu perlunya manusia kepada agama kerana hanya agama dapat membentuk keperibadian unggul seseorang manusia.

Islam itu berasal daripada perkataan aslama bermaksud sejahtera. Dari segi istilahnya bermaksud ‘penyerahan’ atau penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah S.W.T..Islam adalah agama perpaduan dan kesejahteraan. Manusia secara fitrahnya cintakan kesejahteraan serta perpaduan. Islam membentuk manusia supaya menjadi seorang yang cintakan keamanan dan perpaduan dalam kalangan sesama muslim mahupun sesama manusia. Di dalam sejarah Islam, ketika Rasulullah dilantik menjadi pemerintah di Madinah al-Munawwarah, perkara pertama yang dititik beratkan oleh baginda S.A.W. adalah perpaduan sesama muslim serta perpaduan terhadap kafir zimmi(kafir yang menyebelahi islam). Baginda S.A.W. menyatukan kaum muslimin dengan mempersaudarakan kaum Muhajirin(kaum asal negeri Mekah yang berhijrah ke Madinah) dengan kaum Ansar(penduduk asal Madinah iaitu kaum Aus dan Khazraj).

“Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshor) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshor) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Anshor) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung.”(al-Hasyr,ayat 9)


Ayat di atas menunjukkan bahawa sikap kaum Ansar yang mengutamakan saudara muslim mereka yang berada didalam kesusahan ketika awal hijrah berlaku.

Kesimpulannya, fitrah manusia dijadikan adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Tanpa agama, rosaklah seseorang insan itu. Agama dapat membentuk keperibadian manusia dan dapat mengembalikan manusia ke jalan yang betul dan mendapat keredhaan Allah seterusnya selamat di dunia dan di akhirat. Itulah sebabnya kenapa manusia perlu kepada agama sebagai pembimbing mereka di dunia dan kesejahteraan di akhirat.

Wallahua’lam.

Rujukan :

1. Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat,(2009). “Bertemu Janji Allah siri 2”,Anbakri Publika Sdn. Bhd.

2. Islam.(n.d.). diperoleh pada 7 Febuari 2010.http:// www.wikipedia.org.

3. Tafsir Ibn Kathir.


*This was my Foundation Semester 2 Islamic Education's Assignment....

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget