Tuesday 13 December 2011

Ada apa dengan Sembang Rakyat?

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

ASSALAMUALAIKUM W.B.T
SALAM SEJAHTERA

Beberapa hari kebelakangan ini, kecoh di facebook tentang video Sembang Rakyat yang disiarkan di YouTube. Rata-rata boleh saya katakan ramai yang tidak berpuas hati dengan pembikinan video berdurasi pendek itu yang memaparkan kononya sembang rakyat biasa. Tidak kurang juga yang merasakan tidak ada apa masalah dengan video tersebut. Apa yang boleh saya katakan tentang video ini adalah:
1)Gambarnya cukup jelas
2)Audionya memuaskan

Secara pandangan mata biasa, itu yang dapat saya gambarkan. Mungkin video-video terbitan syarikat/persendirian ini memiliki kelebihan dari segi itu, tetapi pada saya bukan dari segi kandungannya/contents. Ini kerana terdapat beberapa kekurangan bahkan boleh saya katakan kandungan yang kurang ajar. Sebab itu video ini mendapat kritikan yang cukup hebat, kebanyakannya dari pendukung parti pembangkang Malaysia, umat Islam(yang mempunyai kesedaran Islam/ Islamic Awareness) dan juga rakyat Kelantan. Ini disebabkan video ini memaparkan provokasi melampau yang melibatkan ketiga-tiga golongan ini.

Blog Sembang Rakyat. Ditaja oleh siapa? Wallahualam


TAJUKNYA:LAGI HUDUD PAS

Mungkin apabila sekilas membaca tajuknya, rata-rata daripada kita sudah mendapat gambaran awal tentang perkara ini. Di dalam satu video terbitan yang sama, perkara ini 'dipersembangkan' oleh pemain-pemain layar yang dapat saya sifatkan sebagai bagus, mungkin boleh menjadi calon kepada lakon layar terbaik dan seumpamanya. Cukup berkesan hinggakan dapat membuatkan perasaan saya menjadi meluat, membenci setiap bait yang diluahkan mereka dan cukup untuk membuatkan saya berkata, "Ya Allah, sedarkan mereka ini akan kata-kata mereka."

Antara kandungan yang 'dibincangkan' oleh para lakon wayang ini adalah cadangan PAS Kelantan ingin melaksanakan hudud di negeri ini. Kata seorang pakcik tua berkopiah, ini cuma lagu-lagu lama PAS diterajui Nik Aziz yang kembali diputarkan. Kemudian, dengan rancaknya perbualan ini disambung oleh makcik-makcik tidak kurang juga kakak muda yang berbangsa Melayu Islam tetapi auratnya tidak ditutup. Hinggakan salah seorang daripada mereka berkata, "Kalau laksana hudud pun, takkan jadi nye." Astagfirullah. Terasa nak menangis mendengarkan betapa jahilnya bait perkataan itu.

Sembang rakyatkah? Ini bukan soal politik, ini soal hukum Allah.
Jelas  mereka menyelisihi Kalam Allah. 

Isu pokoknya yang ingin saya bangkitkan disini adalah adakah ini mentaliti yang dimiliki oleh orang Melayu ISLAM? Hudud ini bukan ciptaan manusia. Hudud ini datang secara jelas seperti termaktub di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulillah.


Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(al-Maidah; 38)


Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus dali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.
(an-Nuur;2)



Kata-kata yang datang dari orang Islam seumpama tadi jelas membangkitkan rasa marah dalam diri ini. Ini bukan soal PAS nak bawak hudud, tapi perbuatan kamu itu sudah membuatkan kamu menghina undang-undang Allah tanpa disedari. Astagfirullah. Siapa kamu untuk menentukan keberhasilan perlaksanaan undang-undang Allah. Adakah kamu lebih hebat dari Allah? Sedihnya jika ini datang dari mulut insan yang mengaku dirinya Islam. Secara jelasnya video ini menghina hukum Allah. Justeru, diharapkan semua pelakon dan penerbit serta penulis skrip, minta bertaubat dan istighfar banyak-banyak. Berhati-hati dalam berbicara, jangan sampai menghina hukum Allah tanpa disedari.

KATANYA: KELANTAN JUARA HIV

Didalam klip video berdurasi beberapa minit tersebut, antara yang disebut adalah Kelantan mencatat kadar tertinggi dalam statistik penghidap HIV mengikut negeri selama 3 tahun berturut-turut. Saya tidak ingin membahaskan kesahihan statistik ini. Adapun jika statistik ini benar, kita harus terima hakikat dan realiti. Apa yang dikesalkan adalah lanjutan daripada statistik ini. Seolah-olah skrip itu menghina rakyat Kelantan dengan kadar statistik ini. Unsur-unsur kenegerian sangat jelas diutarakan oleh para lakon layar ini. Masih terngiang-ngiang di telinga ini bagaimana para lakon layar melafazkan, "Nasib baik aku bukan orang Kelantan." Teruk sangatkah rakyat Kelantan? atau hanya 'teruk' di mata orang-orang tidak senang apabila syariat cuba ditegakkan?

Pakai lebai pun bukan semestinya faham akan islam.
Mungkin ini yang cuba ditonjol oleh penerbit video.

Kenapa tidak dilihat tentang permasalahan ini secara menyeluruh?Kenapa hanya menggunakan statistik ini bagi menyerang satu pihak? Ini masalahnya dengan dunia politik di Malaysia. Pada saya, Kerajaan Pusat juga harus sama bertanggungjawab diatas statistik ini, bukan sahaja di Kelantan malah di seluruh Malaysia amnya. Federal Government mempunyai kuasa dalam beberapa agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Penerangan dan sebagainya. Saya juga melihat kegagalan statistik ini sebagai juga kegagalan Kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat yang mempunyai akses kepada agensi yang disebut diatas seharusnya lebih giat berusaha dalam menyedarkan masyarakat tentang bahaya HIV/AIDS dan seumpamanya. Didalam video klip tersebut juga disentuh bagaimana dikatakan di Kelantan, kuliah-kuliah agamanya cukup hidup namun masih belum mampu mengurangkan jumlah pesakit HIV. Jawapan saya, kalau semua yang sakit HIV(golongan yang saja cari penyakit ini, bukan golongan yang secara tidak sengaja) datang ke kuliah-kuliah agama, takkan jadi masalah-masalah seumpama ini. Dangkalnya penulis skrip video berkenaan mengaitkan kuliah agama dengan kegagalan kerajaan Kelantan dan rakyatnya. Bagi saya video ini cukup-cukup bodoh dan dangkal kerana seumpama budak hingusan yang bercakap tanpa asas, hanya merapu,dan menjadi bahan ketawa orang lain. Kenapa sahaja kamu tak kata, rakyat Malaysia dah banyak saluran tv berbentuk islamik tapi masih ada yang tak menutup aurat dengan sempurna, salah satunya pelakon dalam video tersebut. Sebab ramai yang masih tertutup hatinya, kerana itu semua ini terjadi.

LATAR VIDEO KLIP

Bagi saya, setting atau latar video klip ini pun sudah mempunyai kelemahan dari beberapa segi:

1) pelakon wanitanya tidak menutup aurat.
Cukup sedih bila berkomentar tentang Islam lancar tapi tidak tutup aurat. Sudahlah itu, kalau apa yang dilontarkan itu benar baguslahh juga, tapi lagi menyeleweng adalah. Sedih.Benar kita tidak boleh menilai seseorang dari luaran, dan itu pun saya cuba elakkan. Tapi hakikatnya dapat dilihat di bait perkataan. Sungguh dangkal kefahaman itu, tetapi masih mahu berbicara tentangnya. Susah jadinya bila orang tiada ilmu tapi pura-pura mengetahui.

2) apabila non muslim berbicara soal hudud.
Saya tidak ada masalah bagi non muslim berbicara soal hudud. Yang menjadi masalahnya adalah apabila fakta itu diseleweng/tidak difahami. Saya merujuk kepada ulasan seorang Kristian berbangsa Cina yang juga orang kuat dalam pergerakan Kelab Penyokong PAS. Ulasan beliau tentang hudud dan islam menampakkan kefahaman beliau tentang agama ini. Ini berbeza dengan situasi diatas. Macam mana non muslim nak faham islam, kalau yang dah islam pun masih pening dengan islam dan tidak faham dan tidak pula cuba memahami agama ini. Yang dia tahu mungkin baca Yasin malam jumaat. Itupun kalau boleh membaca Quran. Kalau tak boleh? Sedih.

3)Wanita keluar pada malam hari.
Mungkin nampak pelik dalam sesetengah masyarakat apabila wanita keluar malam berada di kedai-kedai kopi. Atau bahasa urbannya,'lepak'. Mungkin pada masyarakat yang ditonjolkan dalam video ini satu kebiasaan. Tapi pada pandangan saya, agak pelik dan dangkal. Tak ada kerja nak buat duduk di kedai kopi malam-malam, anak-suami-rumah nak tinggal kat siapa? Mungkinlah pada anggapan saya wanita-wanita ini semuanya bujang barangkali.

APABILA POLITIK DIJADIKAN IDEALISME

Salah satu perkara yang amat saya kesali adalah politik ini dijadikan idealisme hidup. Cukuplah sekadar berpolitik pada had dan batasnya. Janganlah politik menjadi pegangan hidup kita. Apabila politik dijadikan a way of life, jadilah benda-benda haram dihalalkan. Sudahlah politik yang dibawa itu tidak berlandaskan perjuangan syariat, lagi teruklah jadinya. Umpat-mengumpat hina menghina sudah menjadi 'zikir' bagi mereka ini. Termasuklah dengan apa yang ditonjolkan dalam video ini. Siri Sembang Rakyat ini juga dalam episod yang lain sempat menyentuh tentang Bob Lokman. Banyak umpatan telah dibuat dalam video ini. Allahurabbi. Saya bukannya ingin mempertahankan Bob Lokman dalam kesnya, tetapi cara ulasan sembang rakyat ini cukup membuatkan saya geleng kepala. Saya cukup hairan taktkala dua tiga hari ini cukup riuh apabila klip ceramah Ustaz Budak berkenaan isu nabi diperluaskan dan disebarkan dalam media arus perdana tetapi isu menghina hukum hudud ini tidak ditonjolkan.Kenapakah? Adakah ada sesuatu disebalik semua ini? Kedua-dua isu ini tidak saya nafikan tampak berbahaya. Dalam kes Ustaz Budak, mungkin dia tersilap dalam menyusun kata-kata dan tidak berniat untuk dia samakan TG Nik Aziz seperti nabi. Namun, dalam video klip ini secara jelas menghina hukum hudud. Tapi umat islam di Malaysia seakan menyepi. Saya tidak kisah samada UMNO, PAS atau PKR, atau mana-mana badan NGO menuntut supaya pihak yang bertanggungjawab didalam video klip ini, daripada penulis skrip hinggalah pelakon wajib beristigfar dan meminta maaf kepada semua umat islam. Berpolitik ada hadnya, tetapi awas jangan sampai menghina kalam Allah. Demi Allah, tiadalah dari kalangan orang mukmin yang beriman dengan Allah dan RasulNya menyukai apabila kalam Allah dan Sunnah NabiNya dihina oleh manusia lain, apatah lagi dalam kalangan yang bergelar muslim.

Semoga kita semua diberikan hidayah dan taufik oleh Allah azzawajalla.

Wallahualam

Kamaruddin Kairuu,
13 Disember 2011

No comments:

Post a Comment