Sunday 4 December 2011

Semalam, Kini dan Esok

Semalam,

Kisah itu kekal tercatat dalam sejarah,
Empayar Islam membuka wilayah,
Menguasai sepertiga dunia,
Dibawah genggaman satu khalifah.

Semalam,
Umat bagai dipayungi dibawah kedaulatan khilafah,
Tiada yang berani mengzalimi umat ini,
Umat ini kuat,
Terdiri daripada ratusan bangsa,
Dibawah satu khilafah.

Namun,
Jaranglah berbunyi semangat kebangsaan,
Walaupun wilayah itu terdiri daripada aneka bangsa,
Namun Islam tetap didahulukan.
Adapun bangsa Arab,
Adapun bangsa Parsi,
Adapun bangsa Habasyi,
Mereka tetap saudara dibawah panji Islam,
Menjadi satu dibawah nama Allah dan RasulNya.


Namun,
Itu cerita semalam. 

Hanya sisa bangunan yang tinggal

Kini,
Ummah bagaikan kaca yang pecah,
Dipijak dan disepak bagai tiada yang membela,
Adapun ummah makin hari makin bertambah,
Namun tiada yang berani bersuara.

Kini,
Maruah ummah mudah dirobek,
dikoyak-koyak tanpa ada pembela.
Lihat sahaja di Palestin, 
Darah mengalir saban hari,
Tanpa mengira jantina diri.
Dimana dia pengganti Mu'tasim,
Yang sanggup berperang hanya kerana seorang wanita muslim,
Yang dizalimi di wilayah asing.
Dunia Islam hanya menyepi,
Tidak terucap di bibir hanya sepi menderita.

Kini,
Ummah bersatu tanpa mengira bangsa
Ummah mula berani mengangkat suara,
Islam secara ansur ditolak,
Idealisme kebangsaan jadi agenda,
Katanya ini bangsa yang berdaulat,
Katanya ini bangsa yang terpilih,
Katanya pertahankanlah bangsa ini.

Awas wahai ummah,
Hati-hati dengan idealisme mu,
Jangan pula dituruti langkah Bani Israel,
Yang bangga dengan asal keturunan mereka,
Hingga tidak menerima seorang Arab,
Menjadi nabi mereka.


Awas wahai ummah,
Allah tidak mengenal kamu kerana bangsamu,
Allah tidak mengenal kamu hanya kerana warna kulitmu,
Allah tidak mengenal kamu hanya kerana darjat keturunanmu,
Allah mengenal kamu hanya dengan darjat imanmu wahai ummah.

Esok,
Ingin ku lihat ummah ini berdiri di bumi ini,
Dengan aqidah mentauhidkan Ilahi,
Ingin ku lihat ummah ini,
Kenal Islam mendahului bangsa mereka sendiri.
Ingin ku lihat ummah ini,
Dipelihara maruahnya dipayungi satu panji.

Wahai kaum muslimin dan muslimat,
Semalam sudah berlalu,
Kisah-kisah lampau sudahpun tertulis.
Kini ini akan berlalu,
Suratannya bakal ditulis.
Tetapi esok belum tentu berlaku,
Jadi ayuh kita tentukan apa yang bakal ditulis.
Kerana,
Semalam itu sejarah,
Kini adalah permulaan, 
Dan esok adalah harapan.


Kamaruddin Kairuu
5.54 a.m.
4 December 2011
Kuala Krai, Kelantan

1 comment:

  1. best ^^..but aq rse boleh dipertingkatkan lagi...huhu...keep it up!

    ReplyDelete